advertising

Main @jiefeilau

Friday 22 May 2015

Syair Li-Attab Ghib

Maksud Syair

Rangkap 1: Penyair ingin menyampaikan pesanan kepada semua insan yang menjalani kehidupan bersama-sama dalam setiap pekerjaan di dunia.

Rangkap 2: Atas kehendak Tuhan dua orang saudara telah meninggal dunia. Walaupun bersedih, namun tiada apa-apa dapat dilakukan kerana itu kehendak Tuhan yang Esa.

Rangkap 3: Setiap hamba perlu bersabar menerima ketentuan Tuhan walaupun hakikatnya terlalu sukar untuk dihadapi.

Rangkap 4: Setiap insan yang ada di muka bumi ini pasti akan menghadapi kematian tanpa memilih pangkat dan darjat.

Rangkap 5: Setiap insan perlu mengambil pengajaran daripada generasi terdahulu yang telah meninggal dunia agar kita beroleh kebahagiaan.

Rangkap 6: Kebajikan rakyat jelata mestilah diambil kira atau diambil berat dan keluarga sendiri perlu dijaga agar tidak ditimpa kesusahan

Rangkap 7: Para nabi menuntut kita agar memuliakan ilmu yang benar. Ilmu yang dituntut perlulah diamalkan agar tidak menjadi sia-sia.

Rangkap 8: Penyair mengingatkan semua orang mengambil pengajaran atas kematian generasi terdahulu kerana kita juga akan menghadapinya.

Tema

Mengambil iktibar daripada kematian. Hal ini kerana setiap insan di dunia ini perlu mengambil pengajaran apabila berlakunya kematian kerana setiap insan pasti akan melaluinya.

Persoalan

(a)    Kematian yang tidak dapat dielakkan.
(b)   Kepentingan menuntut ilmu kerana menuntut ilmu merupakan tuntutan agama.
(c)    Keinsafan menghadapi kematian. Setiap manusia yang hidup perlulah insaf apabila berhadapan dengan kematian.
(d)   Persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi kematian.

Bentuk

(a)    Bentuknya terikat.
(b)   Mempunyai lapan rangkap.
(c)    Mempunyai empat baris bagi setiap rangkap.
(d)   Semua baris adalah maksud.
(e)   Bilangan katanya tiga hingga enam patah kata sebaris.
(f)     Terdiri daripada sembilan hingga empat belas suku kata sebaris.
(g)    Rima akhirnya aaaa.

Unsur-unsur Bunyi

(a)    Asonansi  (pengulangan vokal a)
Contoh: sebab bersama-sama mengembara.
(b)   Aliterasi (pengulangan konsonan d)
Contoh: hendaklah kita tunduk terngadah.

Gaya Bahasa

(a)    Repitisi - Pengulangan perkataan segala dalam satu baris
Contoh: Segala pekerjaan segala perkara.
(b)   Inversi – Ayat songsang
Contoh: Kita sepertinya akan didatangkan.
(c)    Diksi - Penggunaan Bahasa Arab.
Contoh: Wahid al-khahar, anbia, jabbar, Saadah.
(d)   Kata Ganda.
Contoh: sudah-sudah, sia-sia, tuan-tuan, dikira-kira, bersama-sama.

Nilai

(a)    Keinsafan. Contohnya, perkara yang berlaku terhadap generasi terdahulu wajar dijadikan pengajaran agar memberi keinsafan kepada diri kita.

(b)   Kerajinan. Contohnya, sikap rajin akan memberi keuntungan yang lumayan.

(c)    Kesabaran. Contohnya, dugaan yang datang dalam hidup perlu ditempuhi dengan penuh kesabaran.

Pengajaran

(a)    Kita haruslah insaf  dan mengambil iktibar ketika berhadapan dengan kematian.

(b)   Kita hendaklah menanam sikap rajin dalam mencari ilmu untuk kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

(c)    Kita perlulah sabar menerima segala dugaan dan ujian dari Tuhan.

Syair Berkait (Bekerja)

Maksud Pantun

Rangkap 1: Penulis menyeru sahabatnya agar segera melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Rangkap 2: Kita diarahkan supaya mengikis sikap malas.

Rangkap 3: Semua pekerjaan dapat dilakukan apabila tiada sikap malas.

Rangkap 4: Kita perlu menguasai bidan tugas masing-masing.

Rangkap 5: Setiap pekerjaan dilakukan dengan teliti.

Rangkap 6: Sikap berhati-hati dalam pekerjaan membolehkan seseorang dapat menghadapi kerja-kerja yang sukar.

Rangkap 7: Kegembiraan dan kepuasan akan tergambar setelah kerja-kerja berat disiapkan.

Rangkap 8: Penat lelah selama ini tidak terasa apabila pekerjaan berhasil.

Tema

Tema pantun ini ialah semangat dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Persoalan

(a)    Penulis meyeru sahabatny agar segera melaksanakan tugas.

(b)   Kepentingan membuang sikap malas dan lemah semangat.

(c)    Kemampuan melaksanakan pelbagai tugasan kerja.

(d)   Ketelitian dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

(e)   Kepuasan kerana berjaya menyelesaikankerja-kerja berat.

(f)     Kegigihan berusaha dapat membuahkan hasil.

Bentuk

(a)    Bentuknya terikat.

(b)   Terdiri daripada lapan rangkap.

(c)    Berisi empat baris serangkap.

(d)   Ada pembayang dan maksudnya.

(e)   Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.

(f)     Terdiri daripada sepuluh hingga sebelas suku kata sebaris.

(g)    Setiap rangkap pantun mempunyai baris yang berkait.

(h)   Rima khir abab.

Unsur-unsur bunyi

(a)    Asonansi (pengulangan vokal a). Contohnya: Bajak, cangkul, tebas dan tebang, Semuanya ada dalam selamat.
(pengulangan vokal e). Contohnya: Semua kerja mestilah tahu, dapat dikerjakan dengan cermat.
(pengulangan vokal i). Contohnya: Tiada satu tinggal di perahu, Tidaklah bimbang barangkan hilang.

(b)   Aliterasi (pengulangan konsonan g). Contohnya: Bangkit segera kita berjuang.
(pengulangan konsonan n). Contohnya: Wahai rakan, handal dan taulan.
(pengulangan t). Contohnya: Tiadalah tinggal terbuang penat.

Gaya Bahasa

(a)    Repetisi (pengulangan kata, ungkapan baris atau rangkap).
Contohnya:
            Sampai di pangkalan,memunggah barang. (baris 2, rangkap 1, dan baris 1, rangkap 2).

(b)   Inversi (ayat songsang), Contohnya: Semuanya siap hati pun lega.

Nilai

(a)    Kegigihan. Contohnya, setiap pekerjaan yang dilakukan dengan gigih akan membuahkan hasil yang menguntungkan.

(b)   Kerajinan. Contohnya, sikap malas perlu dibuang dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

(c)    Berhati-hati. Contohnya, jika kita berhati-hati, maka kerja yang sukar dapat dilaksanakan dengan lebih mudah.

(d)   Kesyukuran. Contohnya, hati akan berasa lega dan tenang sekiranya kerja yang sukar dapat dilunaskan dengan sebaik-baiknya.

Pengajaran

(a)    Kita perlulah memiliki semangat juang yang tinggi.

(b)   Kita perlulah membuang sikap malas dan lemah semangat.

(c)    Kita perlulah memiliki pelbagai kemahiran dalam pekerjaan.

(d)   Kita perlulah berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

(e)   Kita perlulah bekerja bersungguh-sungguh kerana penat lelah akhirnya akan terbalas juga.


 Anda mungkin meminati juga:


Thursday 21 May 2015

Sajak Keusangan budaya

Maksud Sajak

Rangkap 1: Pada zaman dahulu, gadis-gadis duduk dengan bersopan santun dan memakai pakaian tradisional Melayu.

Rangkap 2: Pemuda-pemuda pada masa dahulu amat rajin bekerja namun tetap mempertahankan nilai-nilai warisan bangsa.

Rangkap 3: Kini keadaan sudah berubah. Gadis dan pemuda tidak lagi menitiberatkan budaya Melayu. Mereka kurang bersemangat dan tidak produktif.

Rangkap 4: Pemuda-pemudi lebih menggemari muzik Barat hingga menyebabkan muzik dan pakaian tradisional semakin dipinggirkan.

Rangkap 5: Generasi tua berasa sedih kerana budaya kita semakin dilupakan oleh generasi muda.

Tema

Tema sajak ini ialah peranan golongan muda dalam mempertahankan adat dan budaya Melayu.

Persoalan

(a)    Keindahan dan kesopanan budaya Melayu yang perlu dipertahankan.
(b)   Pengaruh budaya asing dalam budaya Melayu.
(c)    Kecenderungan anak-anak muda terhadap budaya asing selain melupakan budaya sendiri.
(d)   Harapan golongan tua agar budaya warisan terus dipertahankan.

Nada
Melankolik.

Bentuk

(a)    Berbentuk bebas.

(b)   Terdiri daripada lima rangkap.

(c)    Rangkap pertama mempunyai empat baris, rangkap kedua mempunyai lima baris, rangkap ketiga mempunyai enam baris, rangkap keempat mempunyai empat baris dan rangkap kelima mempunyai empat baris.

(d)   Bilangan katanya satu hingga lima patah kata sebaris

(e)   Terdiri daripada empat hingga empat belas suku kata sebaris.

(f)     Rima akhir rangkap pertama ialah aaab, rima akhir rangkap kedua ialah abbcc, rima akhir rangkap ketiga ialah abcdbb, rima akhir rangkap keempat ialah aaaa dan rima akhir rangkap kelima ialah abbb.

Unsur-unsur Bunyi

(a)    Asonansi (pengulangan vokal a). Contohnya: kelihatan sang dara bersimpuh ayu, berbaju Melayu warisan bangsa, menganyam segar.
(pengulangan vokal e). Contohnya: bersalut songket tenunan Melayu, meniup seruling bambu.
(pengulangan vokal u). Contohnya: tubuh-tubuh lesu, merdu dan sayu.

(b)   Aliterasi (pengulangan konsonan d). Contohnya: Ayahanda bonda di pondok.
(pengulangan konsonan g). Contohnya: tiada juga teruna gagah.
(pengulangan konsonan m). Contohnya: irama gamat menodai kedamaian.

Gaya Bahasa

(a)    Anafora (pengulangan kata pada awal baris). Contohnya, kata tiada pada rangkap ketiga baris 2 dan 3; kata tubuh-tubuhpada rangkap ketiga baris 5 dan 6.
(b)   Personifikasi. Contohnya: irama gamat menodai kedamaian, seruling bambu diam keusangan, songket dan batik muram disisihkan.
(c)    Inversi (ayat songsang). Contohnya: tiada lagi sang dara ayu

Nilai

(a)    Kesopanan. Contohnya, memelihara tingkah laku.
(b)   Kerajinan. Contohnya, sentiasa mengamalkan sikap ringan tulang.
(c)    Bertanggungjawab. Contohnya, mempertahankan warisan.
(d)   Penghargaan. Contohnya, menghargai budaya bangsa.

Pengajaran

(a)    Kita hendaklah mengekalkan warisan pakaian tradisional.
(b)   Kita janganlah mudah terpengaruh oleh budaya asing.
(c)    Kita mestilah mempunyai jati diri.
(d)   Kita haruslah rajin berusaha.
(e)   Kita perlulah menjaga perasaan golongan tua.




   Anda mungkin meminati juga:


Syair Panduan Untuk Para Remaja

MAKSUD
Rangkap
Maksud 
1
Penyair berpesan kepada generasi muda agar jangan berbohong dan memperdaya orang. Generasi muda juga diingatkan agar tidak bersikap materialistik dan membazir.
2
Generasi muda diingatkan supaya mengelakkan diri daripada perbuatan mengumpat, mencaci, menganiaya, sombong dan memungkiri janji. 
3
Generasi muda diingatkan agar menjauhi judi dan arak serta tidak terlibat dengan perlakuan yang tidak baik atau negatif kerana kelak akan menerima padahnya
4
Penyair juga berpesan agar para belia tidak berhutang dan mengharapkan bantuan daripada orang lain. Orang yang tidak berhutang dan bergantung harap kepada orang lain pasti akan senang hidupnya.
5
Generasi muda diingatkan agar mengelakkan diri daripada sikap suka meminjam ataupun memberi pinjam serta berhutang. Sikap ini boleh menyebabkan hubungan antara sahabat akan menjadi renggang akibat hilang perasaan hormat-menghormati dalam persahabatan.
6
Penyair juga mengingatkan agar generasi muda tidak mengharapkan bantuan dan bersikap meminta-minta. Hal ini demikian kerana, orang yang terlalu mengharapkan bantuan akan malas berusaha dan kemampuan yang ada dalam diri akan hilang. 
7
Remaja juga diingatkan agar bersikap patriotik dan berdikari dalam melakukan sesuatu. Generasi muda juga diingatkan tidak lupa asal dan usul mereka serta tidak memandang rendah akan kelebihan yang ada pada orang lain.
8
Penyair menegaskan pesanan di atas dititipkan khas untuk generasi muda. Semoga dengan izin Allah pasti belia hari ini akan menjadi pemimpin berkaliber pada masa akan datang.


TEMA


Panduan kepada generasi muda untuk menghadapi dunia yang penuh dugaan dan cabaran. 

PERSOALAN


i. Berdikari dalam kehidupan tanpa mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada orang lain. 


ii. Mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan diri. 


iii. Menunaikan janji yang termeterai kerana kegagalan menepati janji akan menghilangkan kepercayaan orang terhadap kita. 


iv. Mengelakkan diri daripada berhutang kerana hubungan persahabatan akan renggang disebabkan masalah ini.


BENTUK


i Bentuk terikat.


ii Mempunyai 8 rangkap.


iii Setiap rangkap mempunyai 4 baris.


iv Semua baris ialah maksud.


v Suku kata 9 hingga 12. Contoh : ja/ngan/ tak/bur/ di/ri/ di/pu/ji  (9 suku kata-rangkap 2)


Contoh : be/bas/ke/hi/du/pan/ sen/ti/a/sa/ ta/tang/ (12 suka kata-rangkap 4)


vi Antara 4 hingga 5 patah perkataan. Contoh : Ingat pesanku wahai belia  (4 perkataan-rangkap 1) Contoh: Jangan aniaya bengis dan benci (5 perkataan – rangkap 2)


GAYA BAHASA


i Asonansi – Pengulangan vokal a Contoh: Barang dipinjam kerap kehilangan.


ii Aliterasi - Pengulangan konsonan n. Contoh: Jangan biasakan meminta tolong.


iii Anafora – Pengulangan kata pada awal baris. Contoh: Jangan fikir kasihkan kaya.Jangan boros yang sia-sia.


iv Inversi – Pembalikan kata Contoh: Judi dan arak jangan biasa,  sepatutnya jangan biasa judi dan arak.


v Repitisi - pengulangan perkataan ’jangan’  dalam baris yang sama  Contoh: Janganmengata jangan mengeji

NILAI


i Nilai berdikari amat penting dalam diri setiap belia agar tidak terlalu bergantungharap kepada orang lain.


ii Nilai merendah diri penting diamalkan supaya tidak menjadi riak apabila menerima pujian. 


iii Nilai bertanggungjawab harus ada dalam diri setiap insan agar kita bertanggungjawab atas segala yang 


kita lakukan contohnya seperti menepati janji. 


PENGAJARAN


i Kita hendaklah berdikari dan jangan terlalu bergantung kepada orang lain kerana keadaan ini menambahkan keyakinan dan keupayaan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah. 


ii Kita janganlah menyombong diri ketika menjalinkan persahabatan, kelak diri sendiri yang rugi.


iii Kita hendaklah menunaikan janji kerana orang akan hilang kepercayaan jika kita memungkirinya.



Anda mungkin meminati juga:



Sajak Rumput

Maksud Sajak

Rangkap 1: Keluhan insan yang nasibnya diibaratkan seperti rumput. Sebelum sempat untuk bangun dia sudah ditindas oleh seseorang. Sebelum sempat dia menonjolkan kelebihan diri, dia dihina oleh orang lain. Ditambah pula dengan persekitaran yang serba kekurangan dan tidak selesa. Namun demikian, masih ada yang bersimpati dengan kesusahannya.

Rangkap 2: Sebelum sampai hajatnya menunjuk bakat, ada pula yang memperkecil bakatnya tanpa menghiraukan nasib golongan susah demi keuntungan mereka semata-mata.

Rangkap 3: Penyajak menyatakan keluhan orang susah yang tiada apa-apa lebih malang berbanding orang susah yang masih ada tempat berlindung.

Tema
Rintihan nasib seseorang yang dipandang rendah dan dipandang hina.

Persoalan

(a)    Sikap hormat-menghormati sesama insan walaupun terhadap golongan yang kurang berkemampuan. Golongan yang berkedudukan tinggi sering tidak menghormati golongan miskin.

(b)   Penghargaan kepada orang lain. Menghargai bakat seseorang itu walaupun miskin.

(c)    Penindasan terhadap golongan bertaraf rendah. Golongan bertaraf rendah selalu menjadi alat untuk kepentingan golongan atasan.

(d)   Cabaran dalam kehidupan. Walaupun berada dalam kesusahan dan keperitan, kelangsungan hidup perlu diteruskan.

Nada

Melankolik.

Bentuk

(a)    Sajak ini berbentuk bebas.
(b)   Mengandungi tiga rangkap.
(c)    Baris-baris ayat dan rima akhir:
- Rangkap 1 terdapat 8 baris ayat. Rima akhirnya aaabcddd.
-Rangkap 2 terdapat 6 baris ayat. Rima akhirnya ababcc.
-Rangkap 3 terdapat 2 baris ayat. Rima akhirnya ab.

Unsur-unsur Bunyi

(a)    Asonansi. (pengulangan vokal a). Contohnya: baru saja tangan hendak menari,
(pengulangan vokal i). Contohnya: mujur embun pagi membersih diri,  Nasib rumput di tepjalan.
(pengulangan vokal u). Contohnya: diserbdebu menutup muka, tak sehijau rumput di padang.
(b)   Aliterasi. (pengulangan konsonan b). Contohnya:  baru saja hendak berbedak.
(pengulangan konsonan n). Contohnya: cuaca panas angin kering.

Gaya Bahasa

(a)    Personifikasi. Contohnya: tangan hendak menari.
(b)   Sinkope. Contohnya: tak.
(c)    Repetisi. Contohnya: frasa baru saja diulang pada rangkap pertama baris 1 dan 3, rangkap kedua baris 1.
(d)   Anafora ( pengulangan kata pada awal baris). Contohnya: cepat panjang cepat dapat wang!
(e)    Simile. Contohnya: bagai menunggu mati, sehijau rumput.

Nilai

(a)    Ketabahan. Contohnya, segala ujian dan rintangan dalam kehidupan dilalui dengan penuh ketabahan. 
(b)   Kegigihan. Contohnya, sikap gigih mendorong seseorang untuk berusaha mencapai kejayaan meskipun serba kekurangan.

Pengajaran

(a)    Janganlah kita menghina orang yang susah atau miskin.
(b)   Kita perlu mengamalkan sikap hormat- menghormati, terutamanya terhadap golongan miskin.
(c)    Janganlah kita memandang rendah akan bakat seseorang.
(d)   Janganlah kita menutup peluang orang lain, terutamanya peluang golongan orang susah atau miskin.


Anda mungkin meminati juga: