advertising

Main @jiefeilau

Tuesday 28 June 2016

Novel tirani - Nilai dan Pengajaran

Nilai

1. Nilai kasih sayang.

Contohnya, Fadhil dan Raidah sangat menyayangi anak-anak mereka, Ghazi dan Waheeda. Mereka menaruh harapan yang tinggi terhadap pembedahan muka dan hidung Waheeda.

2. Nilai tanggungjawab.

Contohnya, sebagai seorang ayah, Fadhil membawa Waheeda yang mengalami pendarahan akibat kecederaan yang teruk angkara diserang monyet Belanda ke hospital dengan segera untuk mendapatkan rawatan.

3. Nilai kesabaran.

Contohnya, Waheeda begitu sabar menangani sifat cemburu buta dan panas baran suaminya, Zahid yang menuduhnya mengadakan hubungan sulit dengan lelaki lain.


Pengajaran

1. Kita hendaklah mengamalkan kasih sayang untuk mempererat hubungan antara ahli keluarga.

Contohnya, Raidah amat mengasihi anaknya, Waheeda. Dia berusaha dan sanggup pergi ke Singapura semata-mata untuk menemani anak gadisnya itu menjalani pembedahan mata dan hidung di Silicon Medical Center (SMC), Singapura.

2. Kita hendaklah bersikap jujur dan sanggup berterus-terang untuk menyelesaikan satu-satu masalah.

Contohnya, Dahlia bercerita secara jujur kepada suaminya, Zahid bahawa dia dan penyelenggara pergi ke bilik penginapan Dawood semata-mata untuk melihat seterusnya membaiki kerosakan tangki air panas yang pecah tanpa mempunyai niat yang terselindung.

3. Kita mestilah sabar menghadapi cabaran dan dugaan hidup.

Contohnya, Waheeda begitu sabar berhadapan dengan sikap cemburu buta, panas baran dan kata-kata fitnah daripada suaminya, Zahid terhadap diri dan anak perempuannya, Izzati.



Novel Tirani - Sinopsis
Novel Tirani - Tema dan Persoalan
Novel Tirani - Watak dan Perwatakan
Novel Tirani - Latar tempat, masa & masyarakat
Novel Tirani - Gaya Bahasa

Novel Tirani - Latar tempat, masyarakat & masa

Latar Tempat

1. Rumah Fadhil. Tempat Fadhil, Raidah dan anak-anaknya, Ghazi dan Waheeda Nurlyana serta cucunya, Izzati tinggal.

2. Rumah Bazilah, di Yishun Street. Tempat Waheeda menumpang tinggal sementara dia menjalani rawatan pembedahan mata dan hidungnya di Singapura.

3. Chalet Tajau Emas. Tempat Waheeda mengalami kecederaan pada muka dan hidung akibat digigit dan dicakar oleh monyet Belanda yang meluru masuk secara tiba-tiba.


Latar Masa

1. Waktu siang. Contohnya, peristiwa Waheeda yang dikejarkan ke hospital oleh Fadhil dan Raidah akibat kecederaan pada muka dan hidungnya kerana digigit dan dicakar oleh monyet Belanda yang meluru masuk secara tiba-tiba ke bilik pejabat kecil mereka di tepi anjung hadapan berlaku pada waktu siang. 

2. Waktu tengah hari. Contohnya, peristiwa Fatimah dan ahli rombongan MATTA dari Kuala Lumpur yang disajikan hidangan ketupat pulut periuk kera oleh masyarakat Dayak Bidayuh ketika mereka mengikuti Pesta Bung Bratak.

3. Waktu malam. Contohnya, Peristiwa Fadhil yang teringat akan tindakannya menyanggah hasrat anak gadisnya, Waheeda untuk melakukan pembedahan kosmetik pada hidungnya yang pesek sewaktu dia berjalan melintasi bilik tidur anaknya itu. 

Latar Masyarakat

1. Masyarakat yang mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan. 
Contohnya, Rainah amat sayang akan suami dan anak-anaknya dan sanggup terbang ke Singapura semata-mata untuk bersama-sama dengan Waheeda pada hari pembedahan mata dan hidung anaknya itu.

2. Masyarakat yang tekun dan rajin menimba ilmu
Contohnya, watak Waheeda Nurlyana, Bazilah, Fatimah, Izzati dan Zahid digambarkan sebagai masyarakat yang tekun dan rajin menimba ilmu sehingga berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang pengkhususan masing-masing.

3. Masyarakat yang gigih menghadapi cabaran dan dugaan hidup.
Contohnya, Waheeda Nurlyana gigih berdepan dengan berbagai-bagai cabaran seperti peristiwa pembedahan mata dan hidungnya, peristiwa keretakan dan kemusnahan rumah tangganya dan peristiwa dia mengusahakan chalet penginapan untuk kemudahan pelancong. 

Anda mungkin meminati juga:

Novel Tirani - Sinopsis
Novel Tirani - Tema dan Persoalan
Novel Tirani - Watak dan Perwatakan
Novel Tirani - Gaya Bahasa







Tuesday 21 June 2016

Novel Tirani - Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Waheeda Nurlyana

- Berusia 45 tahun
- Merupakan ibu tunggal
- Mempunyai seorang anak perempuan bernama Izzati yang berusia hampir 20 tahun
- Merupakan pengusaha Chalet Tajau Emas di Matang, Sarawak dan Chalet Aya-Sajinah yang terletak di Cameron Highlands, Pahang.
- Berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Perlancongan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai
- Seorang yang cantik, anggun, berperawakan menarik dan berketinggian lima kaki lima inci sehingga berjaya menjuarai Pertandingan Ratu Perlancongan Antarabangsa yang diadakan di The Four Seasons Hotel.
- Seorang yang cekal dan tabah. Contohnya, Waheeda cekal menempuh dugaan dan masalah yang berlaku dalam dirinya, kerjayanya dan rumah tangganya yang dibina bersama-sama dengan Zahid.
- Seorang yang penyayang. Contohnya, Waheeda amat menyayangi ibu bapa dan ahli keluarganya. Waheeda menjaga dan mendidik anak perempuan tunggalnya, Izzati dengan penuh kasih sayang.

Watak Sampingan 

Zahid bin Yasser Arief

- Merupakan bekas suami kepada Waheeda dan bapa kepada Izzati
- Seorang peguam yang berkelulusan Sarjana Undang-undang daripada universiti di Amerika Syarikat.
- Seorang yang mementingkan penampilan diri. Contohnya, Zahid memakai pakaian dan aksesori yang berjenama dan mewah, iaitu Cartier.
- Seorang yang insaf akan kesilapannya. Contohnya, Zahid mengakui kesalahan dirinya dan menangis teresak-esak kerana menyesal atas perbuatan lampaunya yang telah menceraikan isterinya, Waheeda dan mempertikaikan status Izzati sebagai anak kandungnya yang sah.
- Seorang yang gigih. Contohnya, Zahid gigih menyara hidupnya dengan bekerja sebagai peguam ketika menetap di Amerika Syarikat.
- Seorang yang berani. Contohnya, Zahid berani meluahkan isi hatinya kepada Waheeda dengan menghadiahkan sebentuk cincin berlian ketika mereka bersama-sama menikmati makan malam di hotel The Flamingo de La Rossa.


Raidah

- Isteri kepada Fadhil dan ibu kepada dua orang anaknya, iaitu Ghazi dan Waheeda Nurlyana
- Seorang yang berbangsa Melayu Sarawak dan berfikiran agak konservatif.
- Seorang yang patuh akan arahan suami. Contohnya, Raidah akur akan arahan suaminya supaya menasihati Waheeda agar tidak meneruskan niatnya untuk melakukan pembedahan mata dan hidungnya jika sekadar untuk kelihatan cantik.
- Seorang yang baik hati. Contohnya, Raidah membawa ketupat lepas yang dibuatnya sendiri sebagai buah tangan untuk Waheeda dan Bazilah semasa berkunjung ke Singapura.
- Seorang yang bertanggungjawab. Contohnya, sebagai seorang isteri dan juga ibu, Raidah menyediakan makan dan minum untuk keluarganya dan melakukan kerja-kerja harian di rumah.
- Seorang yang penyayang. Contohnya, Raidah sangat menyayangi suaminya, Fadhil dan kedua-dua orang anaknya, Ghazi dan Waheeda serta cucu sulungnya, iaitu Izzati.
- Seorang yang bersimpati. Contohnya, Raidah bersimpati dengan nasib malang Waheeda yang mengalami krisis rumah tangga dengan Zahid.






Anda mungkin meminati juga:

Novel Tirani - Sinopsis
Novel Tirani - Tema dan Persoalan
Novel Tirani - Latar tempat, masa & masyarakat
Novel Tirani - Gaya Bahasa

Novel Tirani - Tema dan Persoalan

Tema

Kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan dalam kehidupannya.

(i) Contoh: Kegigihan Waheeda dalam mengembangkan sayap perniagaannya terserlah apabila dia berani membuat pinjaman baharu untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang terletak di Cameron Highlands dan menukarkan namanya kepada Chalet Aya-Sajinah.

(ii) Contoh: Kegigihan Waheeda dalam membina hubungan persahabatan turut digambarkan dalam novel ini. Waheeda gigih dan bijak berdepan dengan sikap prejudis sahabat baiknya, Bazilah yang mencemburui hubungan baiknya dengan tunangnya sendiri, Dr. Zahari.

(iii) Contoh: Waheeda cekal mengharungi liku-liku pahit dan manis dalam alam rumah tangganya bersama-sama dengan Zahid sehingga memperoleh seorang cahaya mata perempuan. Dia turut mengalami masalah kemurungan akibat keretakan dalam rumah tangganya.


Persoalan

1. Kasih sayang seorang ibu terhadap anak kandungnya

Contoh: Raidah amat sayang akan anak-anaknya. Raidah sanggup terbang ke Singapura semata-mata untuk bersama-sama dengan Waheeda pada hari pembedahan mata dan hidung anaknya itu. Raidah juga sanggup menemani Waheeda ketika mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling atas penyakit kemurungannya di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur.

2. Keberanian mengambil risiko untuk memajukan perniagaan

Contoh: Waheeda berani menanggung risiko dengan membuat pinjaman baharu daripada tabung usahawan siswazah, Bank Pembangunan untuk membeli Chalet Iwana-Iwani yang ingin dijual oleh pemiliknya, Abdul Aziz Imran.

3. Ketegasan dalam membuat tindakan dan keputusan

Contoh: Waheeda tegas dan tekad dengan keputusannya untuk melakukan rekonstruksi pada bahagian mata dan hidungnya walaupun perbuatannya itu bercanggah dari sudut ajaran agama Islam.

Anda mungkin meminati juga:

Novel Tirani - Sinopsis
Novel Tirani - Watak dan Perwatakan
Novel Tirani - Latar tempat, masa & masyarakat
Novel Tirani - Gaya Bahasa




Novel Tirani - Sinopsis

Novel Tirani mengisahkan kegigihan seorang wanita dalam menempuh berbagai-bagai cabaran dan dugaan dengan jiwa dan semangat yang kental. Cerita novel ini dimulakan dengan kisah Waheeda yang berkeinginan tinggi untuk melakukan pembedahan plastic pada wajahnya yang bertujuan untuk membaiki, memulih dan menjaga kekemasan diri. Sebagai pengurus inap desa Tajau Emas, Waheeda bertanggungjawab mengurus segala keperluan dan kemudahan yang diperlukan oleh tetamu yang menginap di inap desanya dengan dibantu oleh sanak saudaranya.

Fadhil teringat akan bantahannya terhadap hasrat anaknya, Waheeda untuk melakukan pembedahan kosmetik pada hidungnya kerana dianggap bertentangan dengan hukum syarak dan konvensi agama. Suara Kamri mengejutkan Waheeda, Fatimah dan para pengunjung tentang kehadiran monyet Belanda yang menyerang secara tiba-tiba dalam kawasan chalet mereka. Semua pekerja dan penghuni  bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Waheeda telah dicederakan oleh salah seekor monyet Belanda pada wajah dan hidungnya hingga dia dikerjakan ke hospital oleh Fadhil sambil ditemani oleh ibunya, Raidah. 

Waheeda menaiki pesawat ke Singapura untuk menjalani proses pembedahan mata dan hidungnya. Bazilah menyambut ketibaan Waheeda di rumahnya di Yishun Street dengan membuat kejutan. iaitu menjengul secara tiba-tiba dari belakang pintu. Keesokan harinya, Waheeda berbincang dan menyerahkan dokumen sejarah kesihatan dan pemeriksaan amnya kepada Dr. Alma Hollis Chen tentang prosedur pembedahan yang akan dilaksanakan di SMC.

Waheeda memaklumkan kepada Bazilah bahawa pembedahan hidung dan mata yang akan dilaluinya memakan masa antara 10 hingga 15 jam. Raidah meminta Ghazi membelikan tiket kapal terbang dan meminta Kamri membelikan daun nipah muda untuk dibuat kelongsong ketupat lepas atau ketupat tolak bala sebagai sebahagian adat orang Melayu Sarawak. 

Menurut Dr Alma Chen, pembedahan matanya akan diketuai oleh Dr. Shirrim Ghazizadeh, pakar bedah mata yang berpengalaman manakala pembedahan hidungnya akan diketuai oleh Dr. Averroes. Waheeda melangkah keluar dari SMC bersama-sama dengan ibunya setelah menjelaskan sebahagian kos rawatan. Raidah kembali semula ke Sarawak setelah Waheeda selamat menjalani pembedahan mata dan hidungnya. 

Petang itu, Waheeda menerima satu berita yang menggembirakan apabila pihak pengurusan di Flamingo Resort menghubunginya untuk temu duga jawatan Pegawai Perhubungan di resort itu. Waheeda hadir di Flamingo de La Rossa sebagai Pegawai Perhubungan Awam. Di Restoran de La Rossa, Zahid memperkenalkan Waheeda kepada bapanya, Datuk Yasser Arief. Anati menceritakan pengalaman manisnya menemani Waheeda yang terlibat dalam Pertandingan Ratu Perlancongan Antarabangsa di The Four Seasons Hotel. Kenangan menjadi lebih manis apabila Waheeda dinobatkan sebagai juara pertandingan pada malam itu.

Zahid menelefon Waheeda untuk memberitahu bahawa upacara merisik pihak perempuan daripada pihak lelaki telah selesai dijalankan dan Waheeda kini merupakan sebahagian miliknya. Zahid memujuk Waheeda agar memberikan notis berhenti kerja di Hotel Flamingo de La Rossa tetapi Waheeda enggan berbuat demikian atas alasan kontraknya yang masih terikat dengan pihak hotel tersebut. Waheeda menghubungi Dr. Rushdi meminta Waheeda datang ke SMC untuk pembedahan segera pada bahagian hidungnya.

Cerita diteruskan dengan peristiwa majlis pertunangan antara Waheeda dengan Zahid dibatalkan dan digantikan dengan majlis pertunangan ringkas antara Ghazi dengan Fatimah. Majlis perkahwinan antara Zahid dengan Waheeda dijalankan dengan meriah dan berlandaskan adat serta budaya Melayu Sarawak. Waheeda tidak bersetuju dengan idea bapa mentuanya, Datuk Yasser Arief untuk menggabungkan Hotel Seri Gading dan Chalet Tajau Emas menjadi satu syarikat perniagaan. Zahid mencari dan menemui Waheeda di salah sebuah bilik penginapan penghuninya di Chalet Tajau Emas. Peristiwa itu mewujudkan perasaan cemburu serta salah sangka yang mendalam terhadap kesetiaan Waheeda.

Waheeda selamat melahirkan bayi perempuan dan menerima rawatan di bilik wad eksklusif, Hospital Pakar Normah tetapi tidak dihiraukan oleh suaminya, Zahid. Waheeda meluahkan krisis rumah tangganya kepada ibunya, Raidah. Raidah memberikan nasihat kepada Waheeda agar bersabar dan sentiasa berfikir secara positif atas ketentuan Allah. Waheeda meminta dan merayu suaminya agar melihat hasil laporan DNA tetapi dipertikaikan oleh suaminya.

Zahid bertindak nekad dengan menceraikan isterinya, Waheeda dengan talak satu disebabkan faktor cemburu dan sikap curiganya yang terlampau itu. Waheeda yang terlalu mencintai suaminya itu mengalami masalah kemurungan dan migrain meroyan akibat tindakan suaminya yang kejam itu. Ghazi dan Raidah menemani Waheeda untuk mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Kuala Lumpur. Waheeda menyatakan keinginannya kepada ibunya untuk berehat seketika di Semenanjung selepas selesai menjalani rawatannya di Pusrawi.



Anda mungkin meminati juga:

Novel Tirani - Tema dan Persoalan
Novel Tirani - Watak dan Perwatakan
Novel Tirani - Latar tempat, masa & masyarakat
Novel Tirani - Gaya Bahasa