advertising

Main @jiefeilau

Wednesday 18 February 2015

Novel Wira Persona Avatari - Sinopsis Ringkas

Sinopsis Ringkas

Pasukan Zamrud II yang diketuai oleh Anas, dan dianggotai oleh adiknya Aina serta empat rakannya, iaitu Pauline, Anjali, Adeen, dan Zuriani menyertai Pertandingan Avatari Kebangsaan Kali Kesepuluh yang berlangsung di Kompleks Anggun. Tujuan mereka menyertai pertandingan ini adalah untuk mengulangi kejayaan Pasukan Zamrud yang diketuai oleh ayah Anas, Profesor Fitri yang telah menjadi juara pertandingan Avatari sepuluh tahun dahulu. Sebelum pertandingan, mereka telah menjalani beberapa sesi latihan yang keras seperti latihan silat, latihan kecergasan, dan latihan menempuh halangan yang dijalankan oleh Cikgu Nisah.

Pertandingan Avatari ini ialah pertandingan kembara di ruang siber atau adventure game bagi makhluk janaan komputer yang dipanggil avatar. Pertandingan yang menggunakan rangkaian Internet ini dijalankan serentak di seluruh dunia. Terdapat empat peringkat yang perlu dilalui oleh setiap pasukan untuk menjuarai pertandingan yang menawarkan hadiah sebanyak satu juta Ringgit Malaysia ini. Untuk peringkat pertama, seratus pasukan terbaik akan layak ke peringkat kedua. Pada pusingan kedua pula, hanya dua puluh pasukan terbaik yang akan dipilih. Selepas disaring dalam pusingan ketiga, hanya lima pasukan terbaik yang akan meneruskan cabaran ke pusingan yang keempat, iaitu pusingan terakhir.

Pasukan Zamrud II telah berusaha dengan gigih dan berjuang bermati-matian untuk melepasi halangan dan cabaran yang terdapat dalam setiap pusingan. Di samping itu, mereka juga terpaksa menghadapi ancaman dari dalam pasukan sendiri kerana salah seorang ahli pasukan mereka, iaitu Anjali telah mensabotaj pasukan dengan mencuri cip pemecut mesin Avatari. Masalah menjadi rumit apabila Aina cedera parah akibat ditembak oleh penjahat ketika pasukan mereka bersiap sedia untuk ke pusingan akhir. Namun begitu, semua halangan dan masalah dapat diatasi oleh Pasukan Zamrud II, dan akhirnya pasukan mereka telah menjuarai pertandingan tersebut.




No comments :

Post a Comment