advertising

Main @jiefeilau

Friday 17 April 2015

Pantun Empat Kerat - Muafakat

Pantun Empat Kerat (Muafakat)

Indah sungguh warna pelangi,
Tidak luput hingga senja;
Ke lurah sama diharungi,
Usaha bersama membawa bahagia.

Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Turun ke paya memetik kangkung,
Hati-hati terkena getahnya;
Bergotong-royong penduduk sekampung,
Hidup muafakat hidup bahagia.

Beras segantang sudah disukat,
Lalu disimpan di atas para;
Andai seluruh masyarakat muafakat,
Negara damai rakyat sejahtera.

Sawah padi luas terbentang,
Kuning keemasan indahnya maya;
Percaya-mempercayai asas berpegang,
Barulah muafakat kekal selamanya.

Harum sungguh bunga melati,
Hiasan sanggul amat memikat;
Bertolak ansur, hormat-menghormati,
Mengukuhkan perpaduan ikatan muafakat.

(Dipetik daripada "Pantun Empat Kerat (Muafakat)" dalam antologi Harga Sebuah Lukisan, Dewan Bahasa dan Pustaka)



Maksud setiap rangkap

Rangkap 1
Sesuatu perkara yang dilakukan bersama-sama tidak kira dalam susah atau senang akan membawa kejayaan.

Rangkap 2
Manusia akan bersatu padu apabila bermuafakat.

Rangkap 3
Kerjasama antara penduduk akan mewujudkan kehidupan yang bahagia.

Rangkap 4
Kemuafakatan dalam kalangan anggota masyarakat akan melahirkan negara yang aman dan sejahtera.

Rangkap 5
Sikap saling mempercayai adalah asas untuk melahirkan permuafakatan yang berkekalan.

Rangkap 6
Sikap bertolak ansur dan saling menghormati amat penting untuk mengukuhkan perpaduan.



Tema

Tema pantun ini ialah amalan bermuafakat dan kerjasama dalam masyarakat akan membawa kesejahteraan.

Persoalan

(a) Pentingnya bersama-sama dalam keadaan susah mahupun senang.

(b) Kepentingan kesepakatan hidup bersama.

(c) Sikap saling mempercayai dalam mengekalkan kesepakatan.

(d) Pentingnya mempraktikkan amalan gotong-royong.

(e) Sikap bertolak ansur dan hormat-menghormati mengukuhkan perpaduan.

Bentuk

(a) Bentuknya terikat.

(b) Pantun ini terdiri daripada enam rangkap.

(c) Pantun ini berisi empat baris serangkap.

(d) Pantun ini ada pembayang (baris pertama dan kedua) dan ada maksud (baris ketiga dan keempat).

(e) Bilangan katanya tiga hingga lima patah kata sebaris.

(f) Setiap baris pantun ini terdiri daripada sembilan hingga lima belas suku kata sebaris.

(g) Rima akhir pantun ini ialah abab.


Unsur-unsur Bunyi

Asonansi – pengulangan bunyi vokal (a,e,i,o,u)

Contohnya: Usaha bersama membawa bahagia (pengulangan vokal a)

Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan

Contohnya: Indah sungguh warna pelangi (pengulangan konsonan n)

Gaya Bahasa

(a) Anafora – pengulangan kata pada awal baris

Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

(b) Repetisi – pengulangan kata

Contoh: Hidup muafakat, hidup bahagia.

(c) Imej alam – penggunaan unsur alam semula jadi

Contoh: pelangi, senja, lurah, buah salak, paya, kangkung, beras, sawah padi, bunga
melati.

(d) Peribahasa

Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

(e) Responsi – pengulangan kata pada tengah-tengah baris

Contoh: Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.

Nilai

(a) Muafakat

Contoh: kesepakatan dalam kalangan masyarakat membawa kepada kehidupan yang sejahtera.

(b) Bekerjasama

Contoh: sikap sentiasa bekerjasama memudahkan pekerjaan yang kita lakukan bersama.

(c) Bertolak ansur

Contoh: rakyat yang mengamalkan sikap bertolak ansur akan menjamin kedamaian seebuah negara.

(d) Saling mempercayai

Contoh: persefahaman yang berkekalan akan wujud sekiranya masyarakat saling mempercayai antara satu sama lain.

(e) Hormat-menghormati

Contoh: Masyarakat yang berbilang kaum sentiasa diseru agar saling menghormati akan kesejahteraan bersama akan wujud dan berkekalan.

(f) Perpaduan

Contoh: Semua ahli masyarakat haruslah bersatu hati demi mengekalkan keharmonian hidup bermasyarkat.

Pengajaran

(a) Kita hendaklah bersama-sama menghadapi saat semasa susah ataupun semasa senang.

(b) Anggota masyarakat hendaklah mengutamakan permuafakatan.

(c) Kita perlulah mengutamakan sikap bergotong-royong demi kepentingan bersama.

(d) Kita perlulah saling mempercayai antara satu sama lain.

(e) Kita hendaklah bersikap toleransi agar perpaduan dapat diperkukuh.

(f) Kita hendaklah mengamalkan sikap hormat-menghormati demi kesejahteraan hidup bersama.


Anda mungkin meminati juga:

Komsas Tingkatan 3: Antologi Harga Sebuah Lukisan

No comments :

Post a Comment