advertising

Main @jiefeilau

Friday 16 January 2015

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa - Sinopsis Bab 1 - 10


Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa





Sinopsis

Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, Memaparkan kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.

Bab 1 - Darah Pahlawan
Leftenan Adnan Wira Bangsa dimulakan dengan kisah Adnan (yang masih kecil) bersama keluarganya. Pak Saidi berasa amat gembira kerana dikurniakan tiga orang anak lelaki. Yang sulung bernama Adnan, yang tengah  bernama Ahmad dan yang bongsu dinamakan Amarullah. Tiga beradik itu membesar di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor. Adnan sekeluarga memiliki darah pahlawan – moyangnya pernah membantu Dol Said menentang Inggeris di Naning. 

Namun begitu Pak Saidi tidak suka menghebah-hebahkan cerita itu kerana sentimen 'siapa yang menentang Inggeris adalah penderhaka’ masih kuat ketika itu. Penjajah ( British) tidak suka kepada sesiapa yang menentang mereka. Mereka mahu menyedut keluar sebanyak banyaknya hasil bumi daripada Tanah Melayu.

Bab 2 - Kampung Sungai Ramal
Adnan bermimpi mengenai kehebatan Hang Tuah dan kawan-kawannya. Dia sangat menggemari kisah kepahlawanan Hang Tuah. Sebelum tidur emaknya akan bercerita mengenai kisah-kisah pahlawan dahulu kala. Setiap pagi, Pak Saidi akan membawa anak sulungnya ke tempat kerjanya. Tujuannya ialah untuk mengajar anaknya itu mengenai betapa susahnya untuk mencari rezeki. Pak Saidi memiliki satu hektar kebun getah dan sebidang tanah sawah tinggalan orang tuanya yang menjadi sumber pendapatan kepada Pak Saidi untuk menyara keluarganya. 

Penduduk kampung Sungai Ramal bergantung hidup kepada aktiviti pertanian sepenuhnya. Mereka akan mengusahakan sawah padi dan menoreh getah untuk mendapatkan sumber pendapatan. Namun, terdapat segelintir penduduk kampung yang lebih suka menghabiskan masa dengan bersembang di warung kopi milik Pak Samad yang terletak di persimpangan kampung. Pak Saidi dan Adnan singgah sebentar di warung tersebut untuk melepaskan lelah. Warung itu tidak pernah sunyi dengan riuh-rendah suara penduduk kampung yang menjamu selera sambil berbual dan ada juga yang bermain dam.

Bab 3 - Harapan Seorang Ayah
Pak Saidi disambut oleh anak-anaknya apabila pulang dari menoreh getah. Hatinya gembira apabila melihat gelagat anak-anaknya itu. Sambil duduk berehat di atas pangkin kayu, Pak Saidi melihat gelagat anak-anaknya yang sedang berlatih silat. Adnan mengajak adik-adiknya untuk berlawan dengannya. Walaupun perlawanan itu melibatkan dua lawan satu, namun Adnan tidak mudah dikalahkan oleh kedua-dua adiknya kerana sikapnya yang tidak mahu mengalah. Setiap kali mereka bersilat, Adnan yang selalu menang. Pak Saidi dapat melihat semangat pahlawan yang ada dalam diri anak sulungnya itu. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi Pak Saidi mempunyai wawasan serta keazaman yang tinggi terhadap masa depan anak-anaknya.

Bab 4 - Dusun Durian Di Tanah Perkuburan
Pak Saidi bersama anak sulungnya, Adnan pergi ke dusun durian untuk membersihkan kawasan dusun tersebut. Setelah selesai membersihkan dusun, mereka melepaskan penat dengan berehat di sebuah pondok yang terdapat dalam dusun tersebut. Sambil berehat di pondok, Adnan mengambil peluang untuk bertanya ayahnya mengapa dusun itu terletak berdekatan dengan kawasan kubur. Ayahnya telah menceritakan tentang asal usul kawasan dusun tersebut. Adnan juga telah bertanya mengenai asal usul keluarganya yang berasal daripada keturunan Minangkabau. Pak Saidi juga telah bercerita kepada Adnan mengenai penentangan orang Melayu terhadap pihak penjajah.

Bab 5 - Harapan Seorang Ibu
Pak Saidi baru pulang dari ladang getah dan ditegur oleh isterinya, Mak Milah. Mak Milah mempelawa Pak Saidi untuk makan tengah hari. Pak Saidi mengajak anak-anaknya untuk makan tengah hari bersama. ketika makan, Pak Saidi tidak lupa untuk memberi nasihat kepada anak-anaknya. Adnan meminta kebenaran daripada ayahnya untuk bersekolah pada tahun hadapan. Mak Milah telah bertikam lidah dengan Pak Saidi untuk menghantar Adnan sama ada di sekolah Melayu, sekolah Inggeris ataupun di sekolah pondok. Akhirnya, Mak Milah akur dengan keputusan yang diambil oleh Pak Saidi.

Bab 6 - Guru Besar Steward
Pak Saidi menghantar Adnan ke sekolah Inggeris.  Walaupun ramai penduduk kampung yang tidak mahu anaknya bersekolah Inggeris kerana kononnya akan menjadi murtad, namun  Pak Saidi berfikiran sebaliknya. Dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang berpelajaran. Setiap pagi, sebelum pergi ke sawah, Pak Saidi mengayuh basikal menghantar Adnan ke sekolah Inggeris di pekan Sungai Ramal. Tengah hari dia menjemput anaknya dari sekolah.

Bab 7 - Mereka Tidak Mengerti

Penduduk Kampung Sungai Ramal menjadi gempar. Orang ramai heboh bercerita mengenai Pak Saidi yang menghantar anaknya belajar di sekolah Inggeris. Ramai penduduk tidak bersetuju. Pak Saidi orang pertama yang berbuat demikian. Mereka khuatir anak Saidi akan dipengaruhi oleh Orang Putih. Lebai Pian menyuruh Tok Ketua mengambil tindakan atas perebutan Saidi. Namun, Tok Ketua membantah. Lalu, Tok Ketua menyatakan bahawa anak Lebai Pian mencuri buah rambutan dan durian orang kampung. Nordin iaitu anak Lebai Pian membuat rancangan untuk mengenakan Pak Saidi.

Bab 8 - Seteguh Karang

Pak Saidi tidak mempedulikan rungutan penduduk kampung. Pak Saidi tegas mahukan anak-anaknya mendapat pendidikan di sekolah aliran Inggeris. Hal ini demikian kerana orang putih lebih maju daripada orang Melayu dari segi pendidikan. Mereka menjajah Tanah Melayu kerana mereka memiliki pengetahuan yang tinggi. Kekayaan bumi ini dikaut kerana ilmu pengetahuan. 

Pelajaran di sekolah Melayu hanya setakat sekolah rendah. Sedangkan sekiranya bersekolah aliran Inggeris, mereka berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan ke sekolah tinggi. Mereka berpeluang menjawat jawatan yang tinggi. Bagi Pak Saidi, anak-anak perlu disediakan ilmu pengetahuan kerana mereka bakal mentadbirkan negara ini pada masa akan datang. 

Pak Saidi menegur sikap Karim kerana dia beranggapan bahawa anak-anak perempuannya tidak perlu diberikan pendidikan yang tinggi. Berlaku perdebatan antara Pak Saidi dengan Tuk Ketua yang kurang puas hati terhadap Pak Saidi. Pak Saidi tetap mempertahankan pandangannya, iaitu menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris bukan bermakna menjadikan anak mereka penganut agama Kristian. 


Bab 9 - Anak-anak Kampung

Suatu malam Pak Saidi terjaga daripada tidur apabila dikejutkan oleh bunyi bising. Pak Saidi dan Adnan mengamati bunyi tersebut dan terlihat suatu lembaga. Adnan sempat membaling kayu belatinya ke arah salah seorang daripada dua lembaga itu. Adnan yakin balingannya mengenai sasaran. 

Keesokan harinya, Adnan melihat tayar basikal ayahnya dikerat dengan pisau angkara perbuatan khianat. Beberapa orang pelanggan bercerita tentang Nordin. Kaki kanannya bengkak sehingga sukar berjalan. Pak Saidi teringat akan peristiwa dua hari yang lalu ketika Adnan sempat membaling kayu beluti ke arah dua orang lembaga itu. 

Di sekolah, Adnan terkenal sebagai pelajar yang rajin dan pintar. Dia amat disenangi oleh teman-teman dan guru-gurunya. 


Bab 10 - Masuk Jawi Basikal Baharu
Adnan akan berkhatan. Adnan resah apatah lagi Tuk Mudim sudah sampai. Walaupun Tuk Mudim berjenaka tetapi bagi Adnan itu bukanlah lawak. Rakan-rakan Adnan mengintai dari luar. Adnan menjadi bersemangat apabila ayahnya berjanji untuk membelikan basikal baharu apabila dia selesai berkhatan. Adnan bersemangat dan tidak gentar apabila dikhatankan. Dia tersenyum selepas dikhatankan. Kira-kira dua minggu kemudian, luka Adnan sembuh. Pada hari yang dijanjikan ayahnya membawa pulang sebuah basikal baharu.














5 comments :

  1. thankyouuuuuuuuuuuuuu its help me a lot ^^

    ReplyDelete
  2. Understanding this story would have been nigh impossible without your concise summaries. Thank you so much!

    ReplyDelete