advertising

Main @jiefeilau

Friday 30 January 2015

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa - Sinopsis Bab 11 - 20

Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa





Sinopsis

Dalam pertempuran dengan askar Jepun, Askar Melayu menunjukkan keberanian dan semangat keperwiraan yang hebat di mana seramai 152 anggota Askar Melayu, termasuk 7 pegawai Melayu dan 6 orang pegawai British yang dipinjamkan ke Rejimen Askar Melayu terkorban. Antara pegawai Askar Melayu yang terkorban itu adalah Leftenan Adnan bin Saidi. Dia bersama 42 orang anggotanya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, Memaparkan kisah keberanian dan keperwiraan askar Melayu yang sanggup berjuang sehingga ke hujung nyawa.

Bab 11: Yakin boleh

Cikgu Nazri menyatakan bahawa pada bulan depan akan diadakan pertandingan syarahan dalam bahasa Inggeris. Adnan menyatakan kesanggupannya untuk menyertai pertandingan tersebut walaupun rakan-rakannya memperlekehkan tindakannya. Cikgu Nazri memuji sikap berani mencuba Adnan walaupun dia masih belum fasih berbahasa Inggeris. Pak Saidi sekeluarga hadir ke tempat berlangsungnya pertandingan syarahan bagi memberikan sokongan moral kepada Adnan. Adnan telah menjadi juara dalam pertandingan syarahan bahasa Inggeris tersebut.


Bab 12: Jaguh Kampung

Perlawanan bola sepak antara Kampung Sungai Merap dengan Kampung Sungai Ramal telah menjadi buah mulut orang ramai. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap tidak berpuas hati kerana kekalahan di tangan pasukan Kampung Sungai Ramal. 

Mereka mengatur pula perlawanan tinju antara kedua-dua pasukan. Budin daripada pasukan Kampung Sungai Merap akan bertinju dengan Adnan daripada pasukan Kampung Sungai Ramal. 

Akhirnya, Budin dan Adnan bersepakat untuk tidak meneruskan perlawanan tinju itu dan mereka menjadi sahabat. 


Bab 13: Darah Muda

Masyarakat kampung sudah dapat menerima dengan baik anak-anak Pak Saidi belajar di sekolah aliran Inggeris. Pak Saidi berbangga kerana dia berjaya membuka mata orang - orang kampung. 

Adnan berjaya menamatkan pelajarannya dengan cemerlang. Adnan telah terpilih sebagai guru pelatih dan diarah mengajar di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Namun, bidang perguruan bukanlah menjadi minatnya kerana cita-citanya adalah untuk menjadi askar. 

Adnan semakin berminat untuk mengetahui perkembangan politik tanah air. Minatnya untuk melihat negara ini bebas daripada penjajahan begitu ketara sekali. 


Bab 14: Askar Melayu Diraja

Dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Persekutuan pads 23 Januari 1933, Rang Undang-undang Askar Melayu telah diluluskan. Kerajaan telah menubuhkan pasukan Askar Melayu.

Pihak British sedang mencari anak-anak muda Melayu yang berminat untuk menyertai Askar Melayu yang baru ditubuhkan itu. Adnan tidak melepaskan peluang dan mendaftarkan nama bagi menyertai Askar Melayu.

Adnan akan berangkat ke Port Dickson untuk menjalani temu duga bagi membolehkannya terpilih untuk menjadi askar. Ayah dan ibunya merestui cita-cita Adnan untuk menjadi askar. 


Bab 15: Buku Bertemu Ruas

Adnan terpaksa menahan ejekan dan cemuhan daripada beberapa orang pemuda di kampungnya. Bagi mereka, askar merupakan tali barut orang putih dan pembelot bangsa.

Untuk ke Port Dickson, Adnan bersama-sama dengan tiga orang rakannya yang lain telah menumpang sebuah lori. Setibanya di Port Dickson, mereka berempat terus ke Kem Haig Lines. Perasaan mereka berdebar-debar ketika menjalani proses temu duga. 

Akhirnya, Adnan telah terpilih menjadi tentera. Dia akan menjalani latihan ketenteraan. Kejayaannya telah menjadi buah mulut orang di pelusuk kampung.

Pak Saidi mengadakan majlis doa selamat sempena dengan pemergian Adnan ke Port Dickson untuk menjalani latihan ketenteraan.



Bab 16: Perwira


Seorang pegawai mengalu-alukan kedatangan rekrut-rekrut baharu. Beliau mengucapkan tahniah dan memberikan kata-kata perangsang. 

Daripada 1000 pemohonan, hanya 25 orang yang terpilih dalam pasukan yang digelar pengasas Kompeni Percubaan Pasukan Askar Melayu. Mereka merupakan skuad pertama yang akan menjalani latihan ketenteraan. 

Pada 1 Mac 1933, semua rekrut bersedia untuk menjalani latihan ketenteraan. Akhirnya, Adnan berjaya menamatkan latihan ketenteraan selama setahun. Adnan telah terpilih sebagai rekrut terbaik dan seterusnya diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Adnan telah diarahkan bertugas di Singapura.


Bab 17: Kehidupan Baharu

Adnan telah dinaikkan pangkat sebagai sarjan. Namun begitu, bukan pangkat yang dikejar sebaliknya kewajipan menjalankan tanggungjawab dan amanah perlu diberikan keutamaan. 

Adnan telah dipilih mewakili platun Askar Melayu dalam perbarisan memberi hormat bagi menyambut upacara pertabalan King George VI di London. Pihak British berpuas hati dengan kegigihan yang ditunjukkan Askar Melayu. Mereka mengambil lebih banyak pemuda Melayu berkhidmat dalam Rejimen Askar Melayu. Bilangannya bertambah menjadi 232 orang.

Adnan telah dinaikkan pangkat sebagai Leftenan Muda dan dilantik mengetuai Platun ke-7, Kompeni 'C'. Hal ini berdasarkan prestasi cemerlang yang telah ditunjukkannya selama berkhidmat dalam Askar Melayu. Pak Saidi telah menjodohkan Adnan dengan seorang gadis bernama Sophia. 


Bab 18: Berhari Raya di Kampung

Perkahwinan Adnan semakin bahagia apabila dikurniai dua orang cahaya mata. Anak lelaki yang sulung bernama Mokhtar dan yang kedua pula bernama Zainudin. Adnan berkhidmat di Singapura manakala isteri dan anak-anaknya menetap di Kajang. 

Adnan membawa keluarganya berpindah ke Singapura. Dia memulakan tugas baharunya di pangkalan tentera Pasir Panjang.  Isterinya mudah menyesuaikan diri dengan cara hidup di tempat baharu. Jiran-jirannya terdiri daripada isteri anggota tentera yang berkhidmat di sana. 


Bab 19: Perang Dunia Kedua

Berita yang mengejutkan diterima oleh Adnan. Ada ura-ura mengatakan bahawa Jepun akan menyerang Tanah Melayu dan Singapura.

Adnan terpaksa menghantar Sophia dan anak-anaknya pulang ke kampung bagi menjamin keselamatan mereka walaupun hatinya berat untuk berpisah daripada mereka. Sophia berjanji akan menjaga anak-anak mereka dengan baik.

Nordin yang suatu ketika dahulu kerap memusuhi Adnan kini telah berubah. Dia menjadi tentera dan rakan setugas Adnan.  


Bab 20: Bukit Candu

Adnan telah diarahkan bertugas di Bukit Candu yang terletak di kawasan berbukit di sebelah timur yang menghadap ke laut. Leftenan Adnan telah mengarahkan anggota tenteranya menggali lebih banyak parit untuk dijadikan kubu. Guni-guni pasir diletakkan di sekitar kawasan Bukit Candu. 

Leftenan Adnan dan Sarjan Hasan telah bertemu dengan Penghulu Sidek bagi membincangkan masalah penduduk kampung yang enggan berpindah. 

Samad bertengkar dengan Penghulu Sidek. Dia mengatakan bahawa bukannya Jepun yang mahu menjajah Tanah Melayu tetapi British yang mahu menguatkan cengkaman penjajahannya. 
















2 comments :