Rangkap 1
Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam.
Penyajak memulakan muhasabah (cermin diri) dengan suatu tekad membuat perancangan untuk membebaskan diri daripada kesukaran dengan menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang..
Rangkap 2
Dalam parlimen diriku
aku bahas isu onak dan enak
untukku merdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotak-katikkan.
Dalam benak penyajak berlaku pertentangan antara cabaran dengan keselesaan.Beliau tidak mahu dikongkong. Penyajak mahukan kebebasan berfikir supaya tidak mudah diganggu oleh pengaruh luaran dirinya seperti dipermain-mainkan.
Rangkap 3
Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman
untuk menguji amal dan iman.
Dalam jiwa penyajak, pelbagai dugaan datang untuk menggugat kekuatan, ketahanan dan keutuhan diri . Kesemuanya untuk menguji amalan dan keimanannya.
Rangkap 4
Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.
Dalam keegoan dan kemegahan diri, penyajak berasa tertipu juga dengan tipu muslihat yang licik dan perangkap pihak yang disangka bijaksana. Akan tetapi, penyajak bernasib baik kerana cepat sedar dan masih peka terhadap tipu muslihat itu.
Rangkap 5
Dalam pentas diriku
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya.
Di dalam hati, penyajak bersungguh-sungguh mahu menentang sesuatu masalah, ketidakpastian,meneroka kebenaran, menelaah / menghayati setiap perkara yang tidak diketahui kesudahannya.
Rangkap 6
Dalam dewan diriku
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang
Di dalam dada, penyajak sudah berasa tidak gentar dengan segala bisikan yang menghalang dan tidak mudah mengalah oleh cakap-cakap berbentuk provokasi atau sebarang percubaan untuk menjatuhkannya dengan cara memburuk-burukkannya.
Rangkap 7
Apabila sibermerdeka sampai
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarah
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku tak kenal batas diri
untuk tidak mengulangi kekalahan.
Maka, ketika peranti internet berada di hadapan mata, penyajak membuat keputusan yang teguh supaya tidak sekali-kali berasa lemah untuk mudah dipengaruhi oleh maklumat yang dipaparkan.Penyajak juga tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Rangkap 8
Kini, kapal diriku telah berlabuh di pangkalan usia
aku turun darinya menghadapi hidup nyata
peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan sibermerdeka terus berkaca
terus mengalirkan arus ingatan
elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan
Sekarang, penyajak menyedari bahawa dirinya telah banyak menghabiskan waktu melayan media baharu itu. Penyajak pun kembali dengan kegiatan seharian seperti biasa. Pelbagai kejadian terus memenuhi ruang internet untuk menggamit perhatian penyajak. Namun, penyajak mengukuhkan keazaman untuk tidak membuang waktu tanpa faedah, sebaliknya mahu mendekatkan diri dengan beribadat di sisi Ilahi.
Tema
Ketabahan seorang insan dalam menghadapi dugaan hidup
Persoalan
1) Persoalan setiap insan terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan hidup.
2) Persoalan perlunya perancangan dan persediaan untuk menghadapi cabaran hidup.
3) Persoalan kehidupan yang penuh dengan tipu muslihat.
4) Persoalan kekuatan diri dalam melawan musuh.
5) Persoalan keimanan yang teguh dalam menghadapi dugaan hidup.
6) Persoalan keinsafan untuk membaiki sisa-sisa hidup.
7) Persoalan keinginan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
BENTUK SAJAK
- Terdiri daripada lapan rangkap
- Terdiri daripada tiga hingga 10 baris dalam satu rangkap
- Terdiri daripada tiga hingga enam perkataan dalam satu baris
- Terdiri daripada tujuh hingga 15 suku kata dalam satu baris
- Rima akhir mempunyai bentuk bebas / tidak terikat.
NILAI
- Nilai rasional
Contoh : Penyajak berfikiran rasional apabila menasihati pembaca agar tidak mensia-siakan hidup sebaliknya pembaca wajar mendekati Tuhan.
- Nilai kegigihan
Contoh : Dalam pemikiran penyajak, dia mencuba memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya agar dirinya tidak mudah dipermain-mainkan oleh orang lain.
- Nilai keinsafan
Contoh : Penyajak cepat insaf / tersedar akan kesalahannya seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.
PENGAJARAN
- Kita mestilah insaf apabila melakukan kesalahan
Contoh : Penyajak cepat insaf / tersedar akan kesalahannya seterusnya mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak terperdaya lagi.
- Kita mestilah memiliki pendirian
Contoh : Penyajak tidak mudah panik dan tidak mudah dipengaruhi oleh kata-kata orang terhadap dirinya.
- Kita mestilah sentiasa melakukan muhasabah diri
Contoh : Penyajak sering melakukan muhasabah diri dalam mencari erti kehidupan agar dia tidak mudah tewas dalam perjuangannya.
Jika anda meminati komsas tingkatan 4, klik di sini
Jika anda meminati komsas tingkatan 4, klik di sini
teacher,, where the Gaya Bahasa of this poem??
ReplyDeleteAre you sure the rima akhir is correct??
ReplyDeletegaya bahasa takde ye?
ReplyDelete